A review by iris_ymra
Dilema by Muharikah

4.0

Dilema; setelah kematian Faris, Iman terpaksa memulakan hidup baharu tanpa lelaki itu sebagai suami di sisi. Iman terpaksa bangun semula dan belajar hidup tanpa Faris dan kini dengan hanya kenangan serta nyawa yang dikandungnya sebagai ingatan kepada arwah Faris. Dalam dia melalui semua cabaran itu sentiasa ada teman dan keluarga disisi -- ada Zarith ada Aleph -- yang namun pada satu tahap semua itu turut membuat Iman lemas, dengan sikap Aleph yang terlalu mendorong meskipun niat wanita itu baik.

Sehinggalah pada satu detik dimana kehidupan Iman terpaksa dimulai semula untuk sekali lagi dengan ujian besar yang menimpanya. Dan dalam perjalanan itu, mungkin Iman telah bertemu damai dengan masa lalunya juga masa hadapan yang menanti.

_______


Perjalanan cerita buku ini disusun dalam peralihan daripada beberapa plot dengan beberapa watak yang lain, walaupun masih berfokus dan mempunyai kaitan kepada kisah hidup Iman juga. Masih mengekalkan tema yang berkaitan dengan medical -- dengan selitan fakta-fakta tentang perubatan -- disamping tema-tema yang lain.

Dalam buku sequel kepada Stigma dan Karma ini juga, kita dapat melihat ke dalam kehidupan watak Aleph dengan lebih terperinci. Dan bagaimana hubungan Aleph dengan Iman menjadi salah satu penggerak cerita dalam buku ini. Kemunculan watak yang pernah ada daripada buku Stigma pada saya ialah satu twist yang menarik -- yang saya tak jangka sungguh, mungkin sebab lupa pada nama watak itu -- dan mempunyai sub-plot sendiri yang berjalan di samping kisah Iman. Yang pada saya membawa sudut pandang daripada seorang/keluarga pesakit pula -- bagaimana mereka mengatasi ujian kehilangan keluarga dan mungkin juga survival guilt. Perjalanan Iman dalam menempuh terapi untuk kesihatan mentalnya, adalah satu perkara yang kita mampu teladani -- bagaimana setelah segalanya, kita masih mampu untuk re-start dan mencari siapa diri kita semula.

Idea yang diketengahkan iaitu untuk mencukupi diri kita dengan diri kita sendiri -- yakni dengan mencari kebergantungan pada Allah s.w.t -- dan berdamai dengan masa lalu serta masa hadapan kita adalah sesuatu yang sepatutnya menjadi aspirasi untuk kita semua. Dan saya suka juga dengan idea tentang rakan hati dan pemikiran -- yang ditunjukkan penulis melalui hubungan persahabatan Iman dengan Aleph dan Zarith. Sebab ya, tidak mudah untuk menemukan rakan hati dan pemikiran yang sebenar-benarnya.

Bagaimana buka ini berakhir juga memang menarik, yang pada saya mencapai tahap realistik yang saya cari dalam sebuah buku fiksi -- a nice happy ending yang tidak begitu idealistik. Rentak pembacaan juga tidak laju dan tidak juga perlahan, dan tiada selitan babak yang pada saya tidak perlu. All in all, nice and comforting reading for me.