A review by iris_ymra
ANOMALI by Syafiq Aizat

4.0

Anomali; cukup lah dengan tajuk itu sendiri betapa menyatakan ke'anomali'an jalan cerita buku ini. Bermula dengan kejadian di luar batas fikir manusia, tetapi anomali menjadikan semua kejadian jatuh pada logik yang logik -- anomali cukup menjelaskan semua ketidakjelasan.

Semua yang berlaku sepelik apapun adalah tidak mustahil; hanya disebabkan oleh keterbatasan ilmu manusia yang merasakan yang mustahil adalah mustahil -- itulah kebijaksanaan yang Maha Bijaksana dalam mengatur kerajaannya. Keterbatasan ilmu manusia itu dipimpin oleh iman dan tauhid kepada tuhan yang Esa -- Al Mulk yang mengatur segalanya, se'abnormal' apa pun ia -- dan dengan kesedaran itulah yang akan membolehkan manusia untuk menerima segala sesuatu yang berlaku yang belum ada jawapan yang mereka peroleh.

______

Anomali menggabungkan kehidupan watak-watak daripada buku-buku penulis yang lepas di dalam satu dunia yang sama, untuk mengalami dan menempuh satu masalah yang mereka perlu bersama-sama selesaikan.

Dan kerumitan masalah yang diwujudkan dalam jalan cerita mungkin akan membawa sedikit kekeliruan, tapi tak akan dapat mengalahkan rasa ingin tahu yang wujud sepanjang pembacaan. Kita tak begitu perlu penerangan melalui naratif, watak-watak itu sendiri menghidupkan jalan cerita, memudahkan pemahanan kisah Anomali ini sendiri.

______

Saya suka dengan cara penulis menyelitkan pengajaran tentang syariat agama, dengan cara tidak terus menerangkan hukum dengan memaksa pembaca atau watak untuk menelan sahaja -- sebaliknya melibatkan watak yang cuba untuk memahami, yang belajar daripada kesilapan, kerana iman akan lebih hidup dengan ilmu dan seterusnya amal. Realitinya manusia ini tidak lari daripada berbuat kesilapan -- tetapi tidaklah bermakna yang kesilapan itu boleh saja-saja ingin dibuat -- dengan memahami sebuah hukum melalui pengetahuan akan menjadikan hukum itu lebih mudah untuk dipatuhi dan diamalkan.
______

Terima kasih sebab bawa budak ajaib hidup semula dalam kisah ini.