A review by iris_ymra
AJAIB by Syafiq Aizat

4.0

Berbanding kepada betapa 'ajaibnya' kebolehan dapat melihat benda halus ini, saya rasakan kebolehan Izaq dalam menjadi pembimbing rakan sebaya adalah lebih ajaib. Rakan-rakan yang punyai masalah bagai ditakdirkan untuk menemui jalan penyelesaian melalui Izaq.

Kadangkala kita merasakan yang kanak-kanak tidak (akan) memiliki masalah sebesar orang dewasa, tapi sebenarnya sebesar mahupun sekecil apa masalah itu adalah bergantung kepada individu yang menghadapinya -- kerana kita sesungguhnya mempunyai keupayaan untuk menanggung sesebuah masalah pada kadar yang berbeza.

Hubungan persahabatan yang ditunjukkan dalam kisah Ajaib ini pada saya sangat indah -- zaman kanak-kanak sememangnya persahabatan terasa lebih indah. Walaupun ketika membaca sesekali saya terbayangkan watak-watak di dalam kisah ini adalah lebih berusia berbanding umur sebenar mereka. Mungkin disebabkan oleh penggunaan POV pertama oleh penulis -- jadi saya merasakan seperti jalan cerita buku ini ialah penceritaan semula yang dilakukan oleh watak itu sendiri pada usia yang sudah dewasa.

Ajaib juga tidak fokus kepada satu-satu konflik sepanjang jalan cerita, banyak konflik yang diwujudkan, yang sentiasa sahaja menemui jalan penyelesaian -- konflik masalah yang dihadapai oleh setiap watak di dalam cerita ini -- konflik budak sekolah yang sentiasa dapat diselesaikan bilamana individu itu sendiri inginkan sebuah penyelesaian dan bantuan. Benda itu lah yang dapat saya belajar -- sesiapapun yang memiliki masalah hanya akan dapat dibantu bila mereka ingin dibantu. Dan ketika dalam fasa mencari ini lah jati diri seseorang itu mampu dibentuk, hanya sahaja mereka perlu pengetahuan dan pendedahan yang benar.

Kanak-kanak sememangnya lebih mudah untuk dibentuk, kerana mereka sedang dalam proses untuk menerima semua info yang diajar, masih lembut menerima teguran kerana mereka belum kenal akan sebuah kesalahan.

Dan Izaq, mungkin padanya kelebihan ini lah ujian (sumpahan) buatnya, tetapi siapa saja yang tidak diuji di dalam dunia ini, lihat saja lah pada rakan-rakan sebaya Izaq -- mereka juga sama diuji, cuma bentuk ujiannya sahaja yang berbeza.