A review by iris_ymra
Empayar 2: Hikayat Mukjizat Daripada Iblis by Teme Abdullah

4.0

Perjalanan kisah Empayar 2 dimulai dengan ssedikit penceritaan zaman kanak-kanak Bachok Andika -- yakni merupakan Pelatih 6480 di Madrasah Taming Sari -- bersama dengan keluarga ahli keluarganya yang merupakn orang laut berketurunan Bugis.

Empayar 2 berkesinambungan kisah setelah Pelatih 8492 -- yang juga merupakan putera sebenar -- lari daripada Madrasah Taming Sari, dan konflik kehidupan di dalam madrasah yang mana Pelatih 1636 masih meneruskan penipuan akan kebenaran yang kononnya dia ialah Putera Aradhana Satera yang telah lari daripada istana. Kataksuban mendapatkan kedudukan duaniwi terlalu hidup dalam diri Pelatih 1636, sehinggakan ketika berlakunya serangan daripada pemberontak yang kononnya membawa perjuangan memartabatkan semula Islam di bumi Tanah Melayu, Pelatih 1636 masih ingin mengambil kesempatan untuk mendapatkan kuasa kedudukan sehingga sanggup berlaku khianat.

Serangan penaklukan Madrasah Taming Sari tidak berlaku lama setelah Pelatih 6480 dan A-kaf 3808 berjaya mendapatkan bantuan daripada orang laut -- yang merupakan barisan ketenteraan rahsia kesultanan, yang juga diketuai oleh abang kepada Pelatih 6480, Bachok Anding.

Perjalanan misi menyelamat menuju ke Madrasah Taming Sari telah membuka dan mencerahkan banyak keraguan dan kesangsian yang selama ini Pelatih 6480 simpan terhadap ahli keluarga dan orang laut sendiri, barulah dia sedar yang selama tanggapan yang dia pegang adalah salah sama sekali.

Pada akhirnya kebatilan tetap kalah kepada yang haq. Namun perjuangan dalam mempertahankan agama Allah ini masih akan tetap diteruskan kerana syaitan laknatullah tidak pernah berputus asa menyesatkan anak cucu Adam sehingga datang hari kiamat.

_______

Empayar 2; pada saya perjalanan cerita terasa agak lambat, penceritaan yang masih banyak berkisar tentang perbuatan 'menunggang agama' oleh Pelatih 1636 sepanjang berada di dalam institusi Madrasah Taming Sari. Sehingga ke serangan pencerobohan oleh anggota-anggota gerakan Imam Aswad juga sama, lebih banyak penerangan tentang perbuatan 'menunggang agama' pihak itu yang diceritakan. Namun tidak kurang juga selitan pengajaran dan penerangan akan kesalahan yang dibuat oleh puak-puak seperti Pelatih 1636 dan Iman Aswad ini -- semestinya forte Teme dalam setiap penulisannya.

Pada saya penceritaan pada awal kisah dan pada bab-bab akhir adalah lebih menarik, hubungan adik-beradik di antara Bachok Anding dan Bachok Andika sangat menarik minat saya, dan watak Bachok Anding juga pada saya sangat berkarisma dengan perwatakannya, walaupun watak itu hanya sedikit wujud dalam penghidupan buku ini -- mungkin juga kerana keseluruhan buku ini penulis lebih banya bercerita berbanding membiarkan watak-watak itu yang membawa perjalanan cerita.

Apa-apapun twist and turn yang ada, semestinya akan membawa kita kepada satu perjalanan lagi untuk buku Empayar yang seterusnya.