A review by iris_ymra
Selamat Tinggal Purnama: Strain Kedua by Teme Abdullah

3.0

Watak Latif ini samada terlalu naif ataupun kurang bijak, rasanya yang kemudian itu adalah lebih tepat. Perkembangan watak yang tidak begitu menarik pada saya, kepasifan yang agak tidak realistik -- mungkin perlu untuk memastikan konflik yang diciptakan oleh penulis kepada watak utama ini terus berkembang -- kerana Latif dinyatakan sebagai seorang yang tidak berpendidikan tinggi dan menyebabkan dia mudah dimanipulsi. Tetapi watak Latif sememangnya adalah satu watak yang memenatkan untuk dibaca jalan hidupnya -- perwatakan yang boleh 'mengganggu' emosi ketika membacanya. Watak protagonis dengan kebaikan yang hanya 'membawa' kepada keburukan.

Pada satu tahap jalan cerita menjadi menjengkelkan pada saya disebabkan bagaimana keburukan watak-watak antagonis di dalam buku ini terlalu diterangkan dalam naratif yang cukup membuatkan kita menjadi sakit hati -- mungkin suatu teknik untuk membuatkan pembaca menjadi emosi. Tapi pada saya bukanlah satu cara penciptaan situasi dalam penulisan yang begitu menarik.

Latif juga paranoid barangkali dan overthinking juga, kerana berapa banyak kesulitan yang mampu dia selesaikan sebenarnya dengan komunikasi yang baik -- tetapi ini fiksi, tiada apa yang dapat dibuat pembaca melainkan hanya melemparkan diri ke dalam konflik sebegini dengan meneruskan pembacaan. Konflik yang berbentuk klisé juga pada saya dan suatu tipikal yang banyak dalam penulisan novel melayu.

Strain kedua ini lebih berat, dengan konflik yang dihadapi watak utama berduyun-duyun tiba. Yang pada saya membuatkan jalan cerita jadi datar dengan konflik berpanjangan, seterusnya menjadikan pembacaan sedikit membosankan tetapi dalam waktu yang sama sangat mencabar perasaan marah dan jengkel yang buat saya rasa ingin berhenti membaca terus.

Saya kurang gemar dengan jalan cerita yang mengidealkan (romanticising), kebaikan yang melampau -- bukan, bukan kebaikan yang melampau kerana kebaikan tidak ada had, tapi kepada bagaimana kebaikan digunakan sebagai 'alasan' yang membiarkan manipulasi orang kepada seseorang individu. Walhal salah satu cara untuk memastikan kebaikan akan terus hidup adalah dengan tidak membiarkannya dipergunakan ataupun dimanipulasi, yang sehingga pada akhirnya kebaikan lah yang 'mengizinkan' keburukan itu untuk terjadi. Mungkin penulis tidak berniat sedemikian, tetapi inilah apa yang saya dapat melalui pembacaan buku strain kedua ni, dan saya melihat kecenderungan penulis dalam menciptakan watak-wataknya dengan perwatakan sebegini, mungkin boleh diubah atau cipta perkembangan watak baharu untuk penulisan masa akan datang.

Saya tidak akan membuat ringkasan cerita untuk buku ini, hanya ingin memberitahu plot twist yang menarik di hujung cerita. Ter'salvage' lah juga sakit dan kejengkelan hati ini.

______


Jika apa yang berlaku pada Latif ialah sebuah realiti, dan andai kita ingin mencari punca kepada kehancuran hidup Latif, kebanyakkannya adalah disebabkan oleh diri Latif sendiri sebelum kepada sesiapa yang lain.

______


Jika ada gangguan kesihatan mental buruk yang mampu memudaratkan; adakah wujud kebaikan yang berupa suatu jenis gangguan kesihatan mental juga yang turut sama memudaratkan.