A review by iris_ymra
Cinta Potato Spring by Fatimah Syarha Mohd Noordin, Farhan Hadi Mohd Taib

5.0

Berkisarkan perjalanan hidup Ameen menempu kehidupan sebagai seorang pelajar melalui cabaran menuju sebuah kejayaan, hatinya namun mula tertaut pada Harteena rakan sekuliah yang membuatkan dia nekad mengakui rasa pada gadis itu melalui pesanan ringkas tanpa Ameen sangka yang dia tidak pula bertepuk sebelah tangan. Merasakan dia telah melanggar prinsip hidup yang dipegang selama ini Ameen mendapatkan pandangan dan bantuan daripada Dr. Mistari -- dan tiada yang lebih baik untuk dua insan yang saling menyimpan rasa pada diri masing-masing melainkan dengan berkahwin. Ameen mula membuat persiapan dari segi kemampuan diri saat semua seperti berjalan dengan baik, dia mendapat tahu akan perasaan yang diluah Harteena padanya hanya mainan yang direncana bersama kekasih gadis itu -- rakan baik Ameen sendiri -- Harris.

Harris pula meski merupakan pelajar yang sama seperti Ameen, namun prinsip dan pembawaan diri dalam kehidupan mereka terlalu berbeza. Entah dimana silapnya kehidupan -- sebagai seorang pelajar -- Harris tidak sebaik Ameen dek kerana sikap dan pilihan yang dibuat sendiri.

Namun persahabatan Ameen dan Harris tidak berakhir mudah. Bahkan semakin lebih kuat apakala Ameen dengan kerendahan hati menerima Harris dan Harris setelah belajar mematikan ego mampu merendahkan diri mengharap pertolongan daripada sahabatnya itu.
_____

Perjalanan kisah Cinta Potato Spring ini memperlihatkan perbezaan dua keadaan apabila dua pilihan yang berbeza -- baik dan buruk -- dibuat. Menerapkan pengajaran dan tanggungjawab yang perlu dibuat sebagai seorang pelajar, anak dan paling utama seorang muslim. Kita difokuskan kepada cara dalam membuat pilihan untuk kehidupan agar pilihan yang dibuat itu sentiasa dipandu dengan cara yang betul dan pada jalan yang betul.

Dan pada akhirnya, pertemuan yang salah, pilihan yang silap dan langkah yang tidak tepat hanyalah satu medium untuk seseorang sentiasa mengambil ibrah untuk membuka langkah dan membuat pilihan yang lebih tepat di kemudian hari.